WILFRIED Zaha.
Agensi

PEMAIN sayap Crystal Palace Wilfried Zaha ‘memecat’ ejennya kerana gagal membantunya dalam usaha untuk meninggalkan Selhurst Park, menurut laporan media.

Zaha mengakui sebelum akhir musim lalu bahawa dia mahukan cabaran baharu dan bertanding di Eropah, dengan kedua-dua Arsenal dan Everton menunjukkan minat mendalam terhadap pemain Ivory Coast itu.

Bagaimanapun Zaha terpaksa mengharungi musim panas di kelab itu kerana Palace menyukarkan urusan perpindahan bintang kelab itu yang bernilai £80 juta (RM411 juta).

Namun menurut akhbar Times, Zaha memberitahu ejennya dia mahu menamatkan kontrak mereka, dengan mengaitkan hubungan ejen itu dengan pengerusi Palace Steve Parish.

Dilaporkan bahawa ejen terbabit, Will Salthouse, yang agensinya USM berjaya meyelesaikan beberapa rundingan terbesar pada musim panas, diberitahu secara bertulis mengenai keinginan Zaha memilih haluan berbeza.

FA Inggeris kini diberitahu mengenai ‘perselisihan’ di antara pemain berusia 26 tahun itu dengan ejennya, menurut sumber.

Kontrak di antara pemain dan wakil mereka tertakluk di bawah badan induk bola sepak England itu.

Sementara itu Zaha berharap dapat membuktikan kemampuannya sekali lagi apabila aksi Liga Perdana Inggeris kembali hujung minggu ini.

Palace yang menduduki tangga keempat Liga Perdana dengan tujuh mata hasil empat perlawanan pertama akan menentang Tottenham di tempat lawan pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:40 PM