Adam mahu menyerlah pada GP San Marino. FOTO fail NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


ADAM Norrodin tidak mahu meletakkan tekanan ke atas diri sendiri pada penampilan pertamanya di saingan Moto2 bersama PETRONAS Sprinta Racing minggu ini di Grand Prix San Marino.

Menggantikan pelumba tetap pasukan itu, Khairul Idham Pawi yang belum pulih daripada kecederaan tangan kanan, Adam mengakui cukup teruja untuk mengenali karakter jentera Moto2 di Kejohanan Motosikal Dunia buat kali pertama.

"Sasaran utama adalah untuk mempelajari sebanyak mungkin pada setiap sesi latihan dan juga kekal konsisten sepanjang minggu ini.

"Jika saya memperoleh keputusan yang bagus ia adalah satu bonus untuk diri saya," katanya.

Adam yang bukan asing di perlumbaan berprestij itu apabila pernah membuat penampilan selama tiga musim bermula 2016 di saingan Moto3 berkata, Litar Misano bukanlah mudah untuk ditakluki oleh seseorang pelumba.

"Tapi ia adalah litar yang bagus untuk saya melakukan penampilan pertama.

"Saya sudah menyaksikan perlumbaan tahun lalu dan mendapatkan maklumat daripada barisan pelumba lain untuk memahami karakter litar dengan lebih baik.

"Tapi segala-galanya bergantung kepada bagaimana perasaan saya apabila kali pertama menunggang jentera itu nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:04 PM