Kumar berharap dapat bantu pasukan layak ke Sukan Olimpik. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


"INI penampilan kelayakan Sukan Olimpik yang kelima dan sudah tentu yang terakhir.

"Itu pengakuan penjaga gol skuad hoki negara, S Kumar yang begitu berharap dapat membantu pasukan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 meskipun lawan yang bakal ditemui pada aksi play off awal November depan adalah Britain.

Kumar berkata, walaupun di atas kertas kelebihan memihak kepada Britain, namun secara peribadi beliau tidak mahu melepaskan peluang terakhir itu.

"Saya tahu saya adalah orang paling penting di dalam padang. Apa juga yang terjadi saya tidak mahu kalah pada perlawanan itu nanti.

"Kebiasaannya apabila saya berada di barisan akhir, rakan sepasukan meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap saya.

"Ia sekali gus memberikan motivasi yang cukup tinggi kepada saya kerana mereka semua amat mempercayai saya," katanya.

Meskipun ada yang beranggapan ia seperti misi mustahil lebih-lebih lagi apabila perlu bertemu Britain di London dalam dua aksi timbal balik, Kumar enggan menjadikannya sebagai satu alasan.

"Tidak seperti satu ketika dahulu, kini mereka adalah pasukan yang boleh ditewaskan.

"Jika kami bermain dengan baik dalam kedua-dua perlawanan itu, peluang tetap ada untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo," katanya.

Kumar, 39 kembali beraksi bersama skuad negara bermula pada siri Jelajah Eropah, Julai lalu selepas terpaksa berehat hampir lima bulan kerana kecederaan koyak otot paha yang dialami ketika saingan Liga Hoki Malaysia, Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 5:21 PM