Zii Jia sedia harungi Projek 24 peringkat demi peringkat. FOTO fail NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


PROJEK 24 yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) hanya menunggu lampu hijau dari Ahli Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) namun pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sudah menyatakan kesediaan untuk menjayakan program berkenaan.

Menurutnya, sebagai pemain dia sentiasa bersedia dengan apa direncanakan pihak pengurusan namun dalam masa sama pemain kelahiran Kedah itu menegaskan ia bergantung kepada situasi.

"Sebab benda ini lama lagi, jadi tidak ada orang tahu apa yang akan berlaku.

Bagaimanapun, saya sentiasa bekerja keras dan mempersiapkan diri sendiri," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Ujar Zii Jia, berdasarkan prestasi bahagian perseorangan lelaki sekarang dia mengakui sendiri ada peningkatan.

"Memang jika kita tengok Cheam June Wei juga ada menunjukkan peningkatan. Kita juga masih mempunyai Lim Chong King dan Aidil Sholeh Ali Sadikin.

"Masih jauh untuk kita fikir mengenai 2024, bagi saya kita perlu melaluinya peringkat demi peringkat.

Paling penting buat pemain ialah buat kerja kita. Latihan dan prestasi sangat penting untuk pemain," katanya.

Dalam pada itu Zii Jia mengakui sendiri media sekarang banyak bercakap mengenai skuad badminton negara berbeza berbanding dulu.

"Memang tekanan ada pada kita, tapi kita adalah kumpulan baru terdiri dari pemain muda yang sedang meningkat naik. Saya perlu menerima dan menyesuiakan diri dengan situasi sekarang.

Kelmarin Jawatankuasa C&T BAM, membentangkan perancangan baru yang dikenali sebagai Projek 24 dan antara sasaran untuk program berkenaan ialah meraih emas di Sukan Olimpik 2024 serta mara ke final Piala Thomas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 3:16 PM