TCHETCHE mahu amuk kubu Kedah sekali lagi.
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my

PENYERANG sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche tekad 'mengganas’ apabila skuadnya berdepan Kedah dalam saingan peringkat Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Bagi memastikan impian tercapai, pemain kelahiran Ivory Coast itu mengakui dia dan rakan sepasukan sudah bersedia selepas melalui rehat yang cukup untuk mematahkan sayap skuad Helang Merah buat kali kedua dalam saingan berkenaan.

Bekas pemain kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu juga menyatakan skuadnya mempunyai peluang ebih baik untuk mencatat kemenangan dan seterusnya melangkah lebih awal ke suku akhir tanpa menunggu perlawanan terakhir bertemu PKNS FC.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Tchetche mencuri tumpuan apabila meledak dua gol untuk menundukkan tuan rumah 2-0 biarpun beraksi dengan sepuluh pemain sepanjang babak kedua selepas penjaga gol, Muhamad Ilham Amirullah Razali diperintah keluar padang kerana menerima kad merah.

“Saya sudah melalui tempoh rehat mencukupi, begitu juga rakan sepasukan. Oleh itu kami dapat membuat persediaan terbaik sebelum berdepan Kedah di tempat sendiri.

“Namun kami tidak boleh terlalu yakin dan selesa beraksi di tempat sendiri, sebaliknya bermain seperti biasa mengikut strategi diatur jurulatih bagi mengelak kekalahan,” ujar Tchetche.

Skuad bimbingan pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain kini memimpin kumpulan dengan mengumpul sembilan mata, diikuti Kedah dengan tujuh mata, PKNS empat mata dan Negeri Sembilan tercorot dengan tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 12:19 PM