LUIZ lakukan kesilapan ketika menentang Liverpool dan Tottenham. - FOTO Agensi
Agensi

DAVID Luiz sudah pasti belajar daripada kesilapan dilakukan pada peringkat awal kariernya bersama Arsenal, menurut Per Mertesacker.

Pemain pertahanan itu tampak bermasalah sejak berpindah dari Chelsea dengan kesilapan terbesar ketika menentang Liverpool dan musuh utara London, Tottenham.

Arsenal kini di tangga kelima menjelang kunjungan ke Watford dalam aksi Liga Perdana Ahad ini dan pengurus akademi Gunners, Mertesacker menjangkakan pemain Brazil itu akan menebus ‘dosa’ itu.

"Saya yakin dia akan belajar daripada kesilapan di atas padang tetapi dia sangat selesa di Arsenal,” kata bekas pertahanan tengah Jerman itu kepada Sky Sports.

"Itu apa yang saya dapat lihat, jadi kami gembira dia bersama kami. Dia membawa perbezaan kepada carta kedudukan sekarang. Jadi saya fikir dia mempelajari sesuatu dan menepati tahap sebagai pemain Arsenal.”

Arsenal menurunkan tiga penyerang buat kali pertama musim ini ketika menentang Tottenham dengan Unai Emery menggandingkan pemain baharu mereka, Nicolas Pepe bersama Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang.

Lacazette dan Aubameyang menjaringkan gol ketika Arsenal bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk seri di tempat sendiri tetapi Mertesacker berpendapat Gunners perlu memikirkan semula taktikal mereka.

"Saya rasa kami kekurangan keseimbangan buat masa ini. OK kami mempunyai penyerang yang bagus tetapi pada masa sama kami perlu bersatu sebagai satu pasukan,” kata Mertesacker.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 12:02 PM