GAYA Kompany ketika diraikan penonton di Stadium Etihad. - FOTO Reuters
AFP

MANCHESTER City bakal memberi penghormatan kepada bekas kapten mereka, Vincent Kompany dengan membina patung pemain itu di luar Stadium Etihad.

Kompany terlepas aksi ‘testimonial’ awal pagi tadi susulan kecederaan hamstring dan menyaksikannya dari tempat duduk penonton. Kelab itu turut menamakan jalan di pusat latihan mereka sempena nama bekas pemain tengah itu.

"Jalan menghubungkan Akademi Bola Sepak Belia City dengan Pusat Pasukan Utama Kelab akan dinamakan dengan ‘Vincent Kompany Crescent’ dan ditandakan dengan mozaic gaya Vincent meraikan jaringan ketika derby Manchester 2012,” kata City dalam satu kenyataan.

"Pengerusi (Khaldoon Al Mubarak) mengesahkan kelab akan memulakan proses ukiran patung bagi menghargai pencapaian dan sumbangan Vincent dan akan diletakkan di luar Stadium Etihad.”

Kompany tidak beraksi dalam perlawanan penghargaan menyaksikan legenda pasukan itu menentang barisan bekas bintang Liga Perdana bagi meraih dana rumah perlindungan Tackle4MCR yang berakhir seri 2-2.

Kompany yang berusia 33 tahun meninggalkan juara Liga Perdana pada Mei lalu dengan menyertai Anderlecht sebagai pengurus dan pemain tetapi mengalami kecederaan ketika tewas kepada Genk bulan lalu.

"Malangnya saya tidak dapat beraksi di hadapan penyokong City akibat kecederaan hamstring dan saya enggan tanggung risiko,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 7:15 AM