MARCELINO tidak sehaluan dengan Peter. — FOTO Reuters
Reuters

MARCELINO dipecat sebagai jurulatih Valencia selepas permulaan tidak menentu musim ini, umum kelab La Liga Sepanyol itu, hari ini.

Pengendali berusia 54 tahun itu, yang memenangi Piala Raja Sepanyol dan membantu meraih tempat ke Liga Juara-Juara musim lalu, meninggalkan pasukan selepas dua musim.

“Valencia memberitahu Marcelino Garcia Toral hari ini beliau tidak lagi menjadi jurulatih pasukan utama,” menurut satu kenyataan kelab.

“Kelab ini mengucapkan terima kasih kepadanya kerana tugas dan dedikasinya ketika bersama kami dan mengucapkan selamat berjaya kepadanya selepas ini.”

Pemecatan itu bagaikan sudah dijangka ketika pramusim dengan media tempatan melaporkan jurulatih itu tidak berpuas hati terhadap pemilik Peter Lim mengenai polisi pembelian pemain.

Selepas meraih empat mata daripada tiga aksi pertama mereka, Valencia memutuskan untuk menggantikan Marcelino.

Laporan di seluruh negara mencadangkan bekas ketua jurulatih B-21 Sepanyol yang juga bekas pembantu di Real Madrid, Albert Celades akan dilantik lewat hari ini.

Berita itu hadir pada masa genting buat Valencia, yang berkunjung ke kelab juara La Liga, Barcelona Sabtu ini sebelum bertandang ke Chelsea bagi aksi pembukaan Liga Juara-Juara minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 11:49 PM