PENGERUSI Jawatankuasa Koordinasi OCA, Raja Randhir Singh (tengah) ketika melawat gelanggang pertandingan di Hangzhou, semalam. — FOTO Majlis Olimpik Asia
Reuters

KARATE, sport climbing dan besbol/sofbol disenaraikan dalam program bagi temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou menjadikan keseluruhannya 40 jenis sukan, menurut Majlis Olimpik Asia (OCA), hari ini.

Tiga sukan itu sudah menjadi sebahagian daripada acara bagi Sukan Olimpik di Tokyo tahun depan yang menampilkan sejumlah 33 sukan.

OCA masih belum memutuskan disiplin dan acara dalam kalangan 40 sukan itu namun menyatakan sebanyak 51 gelanggang akan digunakan.

“Kami tidak ragu-ragu Sukan Asia Hangzhou akan menjadi temasya Sukan Asia terbaik pernah dianjurkan,” kata Ketua Pengarah OCA, Husain Al Musallam susulan lawatan badan induk itu serta kiraan tiga tahun temasya di Hangzhou.

“Kami tidak ragu-ragu kami akan mencetus standard tinggi temasya selain persediaan di tahap terbaik.

“Banyak sukan bermula di Asia dan kemudian dipertandingkan di Sukan Olimpik, seperti pingpong dan judo. Kami bangga dengan apa yang kami lakukan dan bangga dengan pencapaian kami.”

Sukan Asia ke-19 akan berlangsung dari 10 hingga 25 September 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 9:59 PM