Norshahrul cuba melepasi pemain UAE ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
BERNAMA

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mahu pemain menjadikan kekalahan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai pembakar semangat untuk bangkit semula pada perlawanan menentang Vietnam, bulan depan.

Biarpun tewas 1-2 kepada UAE pada saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi, beliau tetap memuji prestasi dipamerkan pemain yang hampir melakukan kejutan terhadap pasukan pelawat.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita memulakan kempen dengan langkah kanan, apabila berjaya menewaskan Indonesia 3-2 di gelanggang lawan pada 5 September lalu maka tidak mustahil kita bangkit semula menentang Vietnam.

“Namun perlu diingat bukan mudah untuk mengekalkan momentum kemenangan konsisten, lantaran itu pemain perlu sentiasa mengikut taktikal permainan jurulatih serta paling utama kekal fokus.

Hamidin mahu pemain bangkit menentang Vietnam. FOTO NSTP

“Apapun kombinasi serta persefahaman yang baik telah dipamerkan pemain dan diharap pemain terus bermain dengan semangat juang yang tinggi, demi lencana di dada,” katanya dalam entri di laman Facebook rasmi persatuan, hari ini.

Hamidin turut berharap agar penyokong terus memberi sokongan padu kepada pemain negara.

Malaysia bakal berkunjung ke Hanoi untuk berdepan tuan rumah, dalam perlawanan ketiga Kumpulan G pada 10 Oktober nanti.

Selepas mengharungi dua perlawanan, Malaysia turun ke tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata di belakang Thailand dan UAE.

Pada satu lagi perlawanan kumpulan G malam tadi, Thailand melakarkan kemenangan 3-0 ke atas Indonesia dan mengungguli kumpulan dengan empat mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 5:09 PM