Agensi

PENYERANG Juventus, Cristiano Ronaldo belum menunjukkan sebarang tanda sudah letih beraksi bersama negaranya, Portugal malah kini mengintai rekod besar dalam kariernya.

Pemain yang sukar disekat itu pada tahap terbaiknya membuktikan ketajamannya ketika membenam Lithuania di Stadium Vilnius, awal pagi tadi dengan meledak empat gol untuk kemenangan 5-1.

Jaringan itu menambah satu lagi rekod dalam senarai pencapaian karier gemilangnya.

Dengan 25 gol sudah dijaringkan, dia kini menjadi muncul penjaring terbanyak sepanjang masa dalam Kejohanan Kelayakan Eropah.


Ronaldo melakukan percubaan ke arah pintu gol. FOTO REUTERS

"Ia adalah bukti jelas dan tidak dapat diubah bahawa dia adalah pemain terbaik di dunia," kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.

Gol Ronaldo itu juga adalah hatrik kelapan antarabangsa pemain terbabit sepanjang proses itu.

Dia juga mengumpul 93 gol bersama Portugal menghampiri jurang rekod yang ramai menyangka tidak mampu dipecahkan.

Penyerang Iran, Ali Daei yang meraih gelaran Bundesliga bersama Bayern Munich pada 1999 menjaringkan 109 gol dalam 149 perlawanan untuk negaranya.

Sehingga kini, pencapaian itu meletakkannya sebagai pemain meledak paling banyak gol pada peringkat antarabangsa.

Ronaldo, bagaimanapun, kian menghampiri rekod Daei dan bintang Juventus itu boleh mencapai status penjaring terhebat sepanjang masa di peringkat antarabangsa.

Ronaldo menjelaskan beraksi cemerlang bersama Portugal kekal salah satu keutamaannya.

“Saya menikmati detik terbaik dan pasukan juga bermain dengan baik,” kata Ronaldo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 3:55 PM
Ronaldo melakukan sepakan ketika menentang Lithuania. FOTO REUTERS