Brooker mahu skuad negara perbaiki aspek mental. FOTO NSTP
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


JURULATIH terjun negara, Christian Brooker mahu skuad bimbingannya terus memperbaiki prestasi terutama aspek mental dan mengawal tekanan ketika membuat terjunan.

Luahan itu disuarakannya selepas meneliti pencapaian keseluruhan Malaysia yang meraih enam pingat emas, lima perak dan dua gangsa dalam Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Dalam kejohanan selama tiga hari bermula Jumaat itu, China yang hanya menghantar tiga penerjun meraih tiga emas manakala Korea Utara, Singapura dan Jepun masing-masing membawa pulang satu emas.

Brooker bagaimanapun tidak menafikan semua atlet negara sememangnya sudah melakukan yang terbaik untuk menyempurnakan terjunan.

"Namun, mereka seharusnya perlu mengelak daripada memikirkan perkara lain dan lebih fokus untuk bersaing dengan pencabar lain.

"Ada beberapa penerjun dilihat masih bergelut untuk belajar mengikut rutin latihan dan perkara itu perlu diperbaiki dalam mana-mana kejohanan disertai mereka," katanya.

Kini, jurulatih dari Australia itu turut memfokuskan kepada usaha memastikan penerjun lelaki negara turut melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara merit.

"Saya berasakan mereka tidak menghadapi masalah untuk layak dengan menyertai saingan Piala Dunia FINA di Tokyo, April tahun depan," katanya turut memantau kecederaan dialami beberapa penerjun termasuk Pandelela Rinong.

Untuk rekod, skuad penerjun negara sebelum ini hanya memperoleh enam pingat perak dan lima gangsa di Kejohanan Terjun Piala Asia 2017 di Macau.

Setakat ini, empat penerjun wanita sudah meraih slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:35 PM