SESI latihan skuad kebangsaan turut disaksikan puluhan penyokong petang tadi. - FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


SELEPAS meraih tiga mata penuh pada aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, skuad Harimau Malaya sudah bersedia meneruskan momentum kemenangan apabila turun menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe berkata, beliau sudah bersedia dengan strategi terbaik untuk memerangkap UAE seperti mana dilakukan anak buahnya ketika membenam Indonesia 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Khamis lalu.

Katanya, tiada perubahan ketara akan dilakukannya terutama dari segi taktikal di mana gaya permainan menyerang tetap akan digunakan.

"Tak guna hanya bertahan kalau akhirnya kita tak dapat gol. Untuk dapat gol kita kena menyerang dan dalam masa sama bertahan dengan baik.

"Paling penting kita kena ambik setiap peluang depan gol dan fokus kepada perlawanan seperti kita lakukan di Gelora Bung Karno," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Padang C Majlis Sukan Negara (MSN), di Bukit Jalil, hari ini.

Berdasarkan kedudukan carta Kumpulan G ketika ini, skuad negara kini di tangga teratas dengan tiga mata selepas dalam satu lagi aksi membabitkan Thailand dan Vietnam terikat tanpa jaringan.

UAE pula tidak bermain dan aksi berdepan Harimau Malaya adalah perlawanan pertama buat anak didik Bert Van Marwijk itu.

Mengulas mengenai pasukan UAE itu, Cheng Hoe mengakui sudah membuat kerja rumah dengan menganalisis beberapa aksi pasukan itu sebelum ini.

"Kita ada maklumat mengenai mereka dan kita tahu kualiti yang ada pada pasukan itu. Kita kena jaga-jaga serangan mereka dan kehadiran pemain seperti Omar Abdulrahman dan 12 pemain muda 23 tahun sudah tentu bawa kelebihan kepada mereka.

"Jadi kita kena bersiap sedia dan selalu saya ingatkan kepada pemain supaya fokus dan tidak memikirkan perkara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 10:12 PM