NADZA (kiri), Lizan (kanan) bergambar bersama Khuzairi (dua kanan) dan Shafari. - FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
sukanteam@nstp.com.my


PELUMBA basikal pasukan Izrimee Bike, Khuzairi Abdul Bakar, 28, muncul juara kategori Terbuka Golden Mountain Bike (MTB) Ride 2019 yang berlangsung di trek Tasik Bukit Besi, Dungun, hari ini.

Khuzairi yang juga kakitangan CEFS Respon Petronas Kerteh menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 16 minit 48 saat sekali gus membawa pulang wang tunai RM400 dan barangan sukan.

Tempat kedua pula dimenangi Muhammad Syazwan Wahab dari pasukan TESDEC Santai Cycling Club dengan catatan 1 jam 16 minit 49 saat dan tempat ketiga milik Syahir Yusof dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak Cycling Club.

Bagi kategori amatur pula, anggota tentera, Shafari Kadir dari TUDM Gong Kedak Cycling Team muncul juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM300 dan barangan sukan.

Tempat kedua dimenangi, Muhammad Nazim Azfar Mohd Jaafar dari LAW Cycling Team manakala, Hafiz Malik dari pasukan G4 Brotherhood di tempat ketiga.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Ketua Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad, Datuk Nadza Abdul dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Lizan Che Mat. Sementara itu, Datuk Nadza berkata, beliau teruja apabila kejohanan pertama kali dianjurkan itu menarik penyertaan 600 pelumba dari seluruh negara.

Menurutnya, pihaknya terpaksa menolak hampir 140 penyertaan yang menghantar borang penyertaan pada saat akhir.

Menurutnya, pihaknya akan turut mengadakan beberapa lagi pertandingan pada masa depan dengan bertemakan hutan dan alam semula jadi.

"Pihak syarikat juga turut terbabit dengan penganjuran larian Jambatan Sultan Mahmud termasuk menjadi penaja Kejohanan Terengganu International Paragliding yang akan berlangsung akhir bulan ini, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 7:57 PM
Skip this ad x