Ker Ying dan Zhiayi (kanan) memenangi pingat emas pada acara 3M Papan Anjal Seirama Wanita. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


SKUAD terjun negara meneruskan rentak kecemerlangan apabila meraih dua lagi pingat emas dalam Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam ini.

Kejayaan itu diraih dua gandingan penerjun acara 3 meter (m) papan anjal seirama iaitu Ong Ker Ying/Loh Zhiayi dan Muhammad Syafiq Puteh/Gabriel Gilbert.

Hari pertama kejohanan itu setakat ini menyaksikan sebanyak tiga pingat emas dan dua pingat perak dimiliki negara daripada keseluruhan lima acara yang dipertandingkan.

Zhiayi, 21, mengakui berpuas hati dengan prestasi terjunannya yang dilihat lebih konsisten biarpun masih dalam proses pemulihan akibat menjalani pembedahan mata kirinya sebelum ini.

"Acara papan anjal sememangnya agak baharu bagi saya kerana selama ini lebih kepada terjunan platform.

"Namun, saya menganggap ia sebagai cabaran untuk terus kekal pada tahap terbaik," katanya ketika ditemui Arena Metro.


Aksi penerjun negara, Mohd Syafiq dan Gabriel Gilbert melakukan terjunan pada acara 3M Papan Anjal Seirama Lelaki.

Dalam sesi pertama pagi ini, Muhammad Syafiq, 24, turut meraih emas pertamanya dalam acara 1 m papan anjal lelaki manakala gandingan Hanis Nazirul Jaya Surya/ Jellson Jabillin meraih pingat perak dalam acara 10m platform seirama lelaki.

Selain Malaysia, kejohanan edisi kali kelapan sehingga Ahad ini menyaksikan penyertaan penerjun dari China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Kuwait, Macau, Qatar, Singapura dan Uzbekistan.

Acara itu bakal menjadi tumpuan bermula esok berikutan skuad terjun negara berpeluang cerah mendapatkan dua lagi slot ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Setakat ini, tiga penerjun wanita, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Wendy Ng Yan Yee sudah layak ke temasya terbesar dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 9:55 PM