HAMIDIN mengingatkan pemain negara agar tidak terlalu gembira dan leka selepas menewaskan Indonesia. FOTO OWEE AH CHUN.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengingatkan pemain negara agar tidak terlalu gembira dan leka selepas menewaskan Indonesia, 3-2 dalam Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi.

Katanya, kemenangan sulung peringkat Kumpulan G itu hanya permulaan dan banyak lagi cabaran menunggu untuk skuad kebangsaan.

"Kita tak boleh terlalu bergembira dan leka dengan kemenangan ini kerana ia baru permulaan dan banyak lagi cabaran dan halangan yang perlu kita hadapi jika ingin berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dan juga pusingan seterusnya bagi Kelayakan Piala Dunia 2022.

"Fokus kini perlu dialihkan segera untuk perlawanan seterusnya bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini dan saya harap momentum kemenangan ini dapat diteruskan oleh skuad Harimau Malaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menitipkan ucapan tahniah kepada skuad kebangsaan dibimbing Tan Cheng Hoe serta barisan pengurusan pasukan atas kejayaan meraih tiga mata penuh itu.

"Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh anggota skuad Harimau Malaya daripada pengurus pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, penolong pengurus, Dato Posa Majais, jurulatih Tan, barisan kejurulatihan dan pegawai serta paling utama pemain yang menampilkan semangat juang tinggi sehingga ke penghujung permainan untuk kita berjaya mencapai misi dan sasaran membawa pulang tiga mata penuh dari Jakarta ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 12:06 PM