Maniam (dua, kiri) sebaik tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) selepas memenangi Kejuaraan Piala ASEAN Football Federation (AFF) Suzuki B-15 di Chonburi, Thailand pada 9 Ogos lalu. FOTO File Bernama
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hemetro.com.my


ELAK lakukan kesilapan mudah yang boleh membawa padah buat pasukan. Itu peringatan Ketua pasukan bawah 15 tahun (B-15) negara, Muhammad Daniel Edzuan Mohd Anuar buat rakan sepelatihnya supaya kekal fokus dalam latihan bagi misi ke final kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020.

Menjelang pusingan kelayakan kejuaraan di Vientiane, Laos yang bermula 18 hingga 22 September ini, Muhammad Daniel Edzuan berharap pemain negara tidak memandang mudah cabaran Kemboja, Laos dan Jepun dalam kumpulan J.

"Kecuali Jepun, kami berpengalaman menentang pasukan Kemboja dan Laos sebelum ini. Tapi kita tidak boleh pandang mudah cabaran pasukan ini kerana mereka ada kelebihan tersendiri.

"Misalnya, kita seri 1-1 dengan Laos ketika kempen kejuaraan B-15 AFF 2019 Di Chonburi, Thailand sebelum ini.

"Perkara ini juga ditekankan jurulatih, supaya berhati-hati dengan gerakan serangan balas lawan yang pantas," katanya ditemui pada sesi latihan di padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.

Katanya, ketua jurulatih, P Maniam kini memfokuskan latihan bagi memperkuat bahagian pertahanan serta taktikal berdepan serangan balas lawan.

"Apapun kami yakin mengharungi kempen kejuaraan kali ini dan bersaing dengan pasukan lain termasuk Jepun selaku gergasi bola sepak Asia," katanya.

Harapan tinggi diletakkan kepada skuad B-15 kali ini selepas muncul juara kejuaraan B-15 AFF 2019 menewaskan tuan rumah, Thailand 2-1 di final.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 1:20 AM