Azraai (kiri) serta Razip yakin skuad Cheng Hoe akan menang di Jakarta. FOTO fail NSTP
Syazwan Msar
Mohdsyazwan@hmetro.com.my


TAMPIL dengan barisan lebih mantap serta permainan berkualiti memberi peluang kepada skuad Harimau Malaya meraih kemenangan pertama menentang Indonesia aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, malam ini.

Bekas pengendali Harimau Muda A Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, Malaysia kemungkinan dapat menundukkan skuad Garuda malam ini dengan jaringan 2-1 jika terus kental menghadapi setiap tekanan sepanjang tempoh perlawanan.

Beliau berkata, skuad Harimau Malaya dibarisi rata-rata pemain hebat berdasarkan perlawanan menentang Jordan sebelum ini berjaya mengekang setiap asakan daripada skuad Asia Tengah itu.

“Saya jangkakan jika skuad Harimau Malaya tidak melayan sebarang provokasi dan mengawal emosi pasti dapat menundukan Indonesia tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Bekas pengendali Harimau Muda B, Razip Ismail berkata, walaupun Malaysia dan Indonesia memiliki kekuatan seimbang namun kelebihan pada skuad Tan Cheng Hoe yang tampil dengan barisan pemain lebih menyakinkan.

“Malaysia boleh menundukkan Indonesia kerana skuad Harimau Malaya pada edisi kali ini lebih bersedia dan mempunyai pemain berkualiti serta taktikal pula lebih sistematik,” katanya.

RAMALAN Mohd Azraai Khor

Indonesia 1-2 Malaysia

RAMALAN Razip Ismail

Indonesia 0-1 Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 4:18 PM