HAMIDIN (kiri) memberi taklimat dan kata-kata semangat terakhir kepada pemain Harimau Malaya di Jakarta, pagi tadi. — FOTO Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim di Jakarta
firdaushashim@hmetro.com.my


“MISI kita hanya satu iaitu membawa pulang tiga mata penuh daripada perlawanan pertama Kumpulan G ini.”

Itu kata-kata semangat yang ditiupkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kepada pemain Harimau Malaya yang akan turun menentang Indonesia pada aksi sulung Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, malam ini.

Hamidin yang tiba di Jakarta semalam hadir ke hotel penginapan pasukan pagi tadi untuk bersarapan dengan pemain dan jurulatih sebelum mengadakan sesi taklimat bagi memberikan amanat dan motivasi menjelang aksi malam ini.

“Semua pemain perlu berani. Main dengan penuh semangat dan berikan persembahan terbaik.

HAMIDIN (dua kiri) berkata sesuatu kepada penyerang negara Hadin Azman (kiri) ketika bersarapan dengan pemain di hotel penginapan, pagi tadi. — FOTO Persatuan Bolasepak Malaysia

“Jangan gentar dengan penyokong tuan rumah. Anda tak perlu rasa takut kerana rekod di Gelora Bung Karno cukup baik. Kita pernah menjulang trofi Piala AFF 2010 dan memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 di stadium ini.

“Jadi mengapa tidak anda teruskan rekod baik itu malam ini. Main sepenuh hati untuk rakyat Malaysia kerana setiap perlawanan dalam Kumpulan G ini kami anggap seperti perlawanan akhir bagi memastikan Malaysia mengutip banyak mata untuk layak ke peringkat seterusnya,” kata Hamidin.

Malaysia memulakan kempen menentang Garuda di Jakarta sebelum melayan kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa depan.

Selain dua pasukan itu, skuad negara turut berdepan Thailand dan Vietnam dengan Malaysia menyasarkan untuk melepasi peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 1:24 PM