STADIUM Gelora Bung Karno, gelanggang perlawanan Indonesia dan Malaysia malam ini. — FOTO Agensi
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


SEBANYAK 48,000 tiket perlawanan antara Indonesia dan Malaysia bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Jakarta malam ini sudah dijual setakat malam tadi.

Ketua Perhubungan Media dan Promosi Digital Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Gatot Widakdo berkata, sekali gus ia menggambarkan keghairahan peminat bola sepak tempatan untuk menonton perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno.

“Setakat ini tiket yang sudah dijual mencapai 48,000 keping. PSSI sebelum ini hanya menjual tiket secara dalam talian.

“Jika ditambah dengan tiket percuma, sekitar 51,000 keping. Untuk penyokong Malaysia yang sudah terjual adalah 400 keping daripada 3,000 tiket yang kami sediakan,” katanya seperti dipetik portal berita www.goal.com.

CONTOH tiket perlawanan malam ini. — FOTO PSSI

Dalam pada itu, aspek keselamatan turut dipertingkatkan memandangkan perlawanan yang sering tegang membabitkan kedua-dua pasukan.

Ketua Pegawai Keselamatan dan Infrastruktur PSSI, Nugroho Setiawan memberitahu, seramai 11,000 anggota membabitkan gabungan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Kepolisian Negara Republik Indonesia (Polri) dan Anggota Dinas Perhubungan (Dishub) akan bertugas mengawal keselamatan.

“PSSI sendiri turut menggerakkan pasukan seramai 300 orang membantu kawalan keselamatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 11:52 AM