PENG Soon dan Liu Ying tewaskan pasangan Taiwan.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


BEREGU campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terpaksa bermandi peluh sebelum menang pusingan pertama Terbuka Taiwan hari ini.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan utama terpaksa mengharungi aksi sehingga ke rubber set sebelum menumpaskan pasangan tuan rumah, Wang Chi Lin-Cheng Chi Ya, 17-21, 21-11, 21-11. "Hari pertama kami masih belum mendapatkan rentak namun pada set kedua dan ketiga kami berjaya bangkit semula," kata Liu Ying ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Menanti mereka di pusingan kedua ialah Do Tuan Duc-Pham Nhu Thao dari Vietnam selepas pasangan berkenaan berjaya menyingkirkan Yang Ming Tse-Wu Ti Jung (Taiwan) 21-19, 21-10. Mengiringi mereka ke pusingan kedua ialah gandingan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See selepas cemerlang menumpaskan satu lagi pasangan tuan rumah, Lu Ching Yao-Lee Chia Hsin 21-13, 21-10. Pang Ron-Yee See akan berdepan pilihan ketiga dari Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara Cheam June Wei berjaya mara ke undian utama selepas menumpaskan dua wakil tuan rumah, Chen Chi Ting dan Lin Chun Yi. June Wei yang akan turun di pusingan pertama esok akan berdepan wakil Indonesia, Ihsan Maulana Mustofa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 9:23 PM