NAVAS ketika majlis memperkenalkannya sebagai pemain PSG di Paris, semalam. — FOTO EPA
AFP

PENJAGA gol Keylor Navas menyertai Paris Saint-Germain pada hari terakhir jendela perpindahan dari Real Madrid dengan pemain kebangsaan Perancis, Alphonse Areola berpindah ke kelab Sepanyol itu.

Navas, pemain Costa Rica berusia 32 tahun dan bermain 104 perlawanan di Madrid dan memenangi Liga Juara-Juara tiga kali, akan menjadi penjaga gol utama PSG dalam usaha mereka memburu kegemilangan Eropah.

Dia menyertai PSG dengan perjanjian empat tahun dan ketika tiada yuran perpindahan disahkan, media Sepanyol menyatakan ia sebanyak 15 juta euro (RM69 juta).

Navas dinobat sebagai penjaga gol terbaik Liga Juara-Juara 2018 selain memenangi anugerah penjaga gol terbaik tahunan UEFA.

NAVAS menjulang trofi Liga Juara-Juara tiga kali di Real. — FOTO Agensi

Dalam usaha mengintai kegemilangan Eropah, PSG sudah mencuba beberapa penjaga gol sejak beberapa musim lalu dengan pemain dari Jerman, Kevin Trapp dan dua pemain Itali, Salvatore Sirigu serta Gianluigi Buffon, 40, semuanya gagal.

Navas memberitahu laman web PSG dia bersedia dengan cabaran getir sebagai pemain terakhir di benteng PSG untuk memenuhi impian mereka itu.

“Saya hadir di sini hari ini dengan perasaan yang hebat,” kata Navas yang beraksi 86 kali bersama Costa Rica dan dipilih penjaga gol kedua terbaik pada Piala Dunia 2014 di belakang Manuel Neuer dari Jerman.

“Selepas pengalaman saya di Sepanyol, saya hadir di Perancis dengan cita-cita besar. Paris Saint-Germain kelab yang terkenal di Amerika Latin dan saya bangga menyertai kelab yang mempunyai cita-cita sebegini,” katanya.

Areola, 26, menyertai Madrid secara pinjaman dengan pilihan untuk membeli dan dijangka bertindak sebagai penjaga gol kedua di belakang pemain Belgium, Thibaut Courtois.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 10:26 AM