Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

SIAPA sangka penjual air tepi jalan bakal menjadi pelumba ujian Formula 4 (F4) dengan hanya bejaya muncul juara perlumbaan simulator E-Sukan.

Itu yang terjadi kepada Mior Hafiz Mior Lahmudin yang muncul juara saingan eRacing Grand Prix SEA hari ini sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Sejak berjinak-jinak dengan E-Sukan secara sambilan, pemuda berusia 31 tahun itu sudah berjaya mengumpul hadiah wang tunai dan barangan bernilai RM24,000.

“Saya tidak jangka akan muncul juara, semua 15 pelumba di pentas akhir ini sangat handal dan sasaran saya hanya berada di kedudukan lima terbaik,” katanya yang pernah bekerja sebagai pemandu syarikat penghantaran.

Dia yang berasal dari Kuala Lumpur mengakui pernah berentap sebelum ini dengan peserta lain baik di alam maya mahupun di kejohanan lain.

“Semuanya ini adalah di atas semangat dan kesungguhan kerana ia bukan mudah untuk memenangi tujuh perlumbaan,” kata Mior Hafiz.

Ditanya mengenai persediaan dan latihan, dia mengakui simulator perlumbaan yang dipersiapkan ayahnya sangat banyak membantu walaupun hanya menggunakan modal rendah.

“Saya berlatih selama dua jam dan di situ saya belajar untuk mengenali lokasi yang perlu saya brek dan sebagainya. Besi untuk simulator ini pula bernilai RM300 manakala stereng RM1,700, tapi di sini ia menggunakan stereng bernilai RM3,600.

“Stereng di rumah saya peroleh ketika meraih tempat ketiga dalam saingan perlumbaan semusim eRacing Formula Satu (F1) mengikut jadual perlumbaan sebenar. Tempat duduk simulator di rumah saya menggunakan 'seat' kereta adik saya,” katanya.

Mior Hafiz yang menceburi E-Sukan sejak pertengahan 2016 mengakui jarang 'melekat' di rumah sebelum mempunyai simulator sendiri dan banyak menghabiskan masa di pusat siber untuk bermain dengan hobi kegemarannya itu.

“Selain perlumbaan GT Sport saya juga bermain permainan video 'Race Room', F1 dan Assetto Corsa. Saya juga ada bermain FIFA tapi sekadar hobi kerana ramai yang lagi hebat dari saya,” katanya yang sudah tiga bulan berniaga air Milo 'Original'.

Mior Hafiz juga mengakui berasa berdebar apabila akan memasuki trek sebenar sebagai pemandu ujian selepas ini dan tidak sabar untuk mencium tayar jentera perlumbaan sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 11:30 PM
STEVEN (tengah) menyampaikan hadiah utama kepada Mior Hafiz. - FOTO Nurul Syazana Rose Razman