SUMAREH (dua dari kiri) gigih menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Bukit Jalil. - FOTO Hafiz Sohaimi
BERNAMA

MALAYSIA menerima khabar gembira menjelang pertemuan dengan Indonesia pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 minggu depan selepas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh mula turun berlatih bersama skuad negara hari ini.

Pemain kelahiran Gambia berusia 27 tahun itu sebelum ini mengalami kecederaan pangkal paha dan tidak beraksi dua perlawanan Piala Malaysia serta perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe berkata, beliau akan terus memantau perkembangan kecederaan pemain berkenaan sebelum aksi pembukaan Kumpulan G itu di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis ini.

"Saya sedang memantau perkembangan Sumareh dan nampaknya dia menunjukkan tanda positif untuk pulih. Kita harap dia pulih sepenuhnya sebelum perlawanan dengan Indonesia nanti," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan di Padang Majlis Sukan Negara, BukitJalil, hari ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe yakin pemain skuad Harimau Malaya sudah bersedia menyerap tekanan penyokong skuad Garuda apabila beraksi di tempat lawan.

Sementara itu, Sumareh berkata, dia tidak sabar kembali semula bagi perlawanan menentang Indonesia selepas menunjukkan tanda baik pemulihan kecederaan pangkal paha.

“Saya harap beraksi semula secepat mungkin setelah terlepas dua perlawanan Piala Malaysia dan kekalahan 0-1 dengan Jordan pada perlawanan persahabatan itu,” katanya.

“Bermain dengan Indonesia di hadapan ribuan penyokong tuan rumah bukan mudah dan sudah pasti ia sengit tetapi saya yakin dengan rakan sepasukan untuk memperoleh keputusan positif,” katanya.

Selepas pertemuan dengan Indonesia, Malaysia akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan kedua kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 10:57 PM