STEVEN (empat dari kiri) bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (tiga dari kanan) dan Pengasas Axle Motorsport, Alex Yong (dua dari kiri) bergambar bersama para pemenang kejohanan eRacing Grand Prix di 3 Damansara. Turut kelihatan juara eRacing Grand Prix, Mior Muhammad Hafiz (tengah). - FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim mengakui Malaysia mempunyai keupayaan menjadi penganjur temasya sukan bertaraf antarabangsa berdasarkan pengalaman sebagai tuan rumah sebelum ini.

Menurutnya, Malaysia tidak perlu berasa terlalu kecil andai berhasrat membida bagi penganjuran Sukan Komanwel 2026.

“Sebagai sebuah negara kita pernah menganjurkan temasya sukan besar seperti Sukan Komanwel 1998 dan Sukan SEA. Jadi, dari aspek pengalaman, kita sudah ada,” katanya selepas pusingan akhir eRacing Grand Prix SEA hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu perlu dilihat berdasarkan keadaan masa kini.

“Kita perlu mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak. Ia bukan keputusan satu pihak saja. Kita perlu lihat banyak perkara termasuklah teknikal, kesiapsiagaan infrastruktur negara dan termasuklah maklum balas daripada persatuan sukan kebangsaan.

“Jadi, ia bukan perkara boleh ditentukan satu pihak saja,” katanya.

Beliau mengulas mengenai hasrat Selangor yang menawarkan diri menjadi tuan rumah utama sekiranya Malaysia membida bagi menganjurkan Sukan Komanwel 2026.

Katanya, pihaknya sentiasa mengalu-alukan cadangan yang boleh membantu memajukan sukan negara.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari terhadap cadangan beliau kemukakan di Sidang Kemuncak Sukan Antarabangsa Selangor baru-baru ini. “Bagaimanapun, pelbagai pihak perlu duduk berbincang mengenai kemampuan infrastruktur dan sebagainya.

“Namun, saya fikir dengan cadangan dibuat kerajaan negeri Selangor itu, ia menunjukkan keyakinan yang begitu tinggi kepada industri sukan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 9:26 PM