ZOUMA (tengah) tertampan masuk bola ke gawang gol sendiri pada minit ke-89. — FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Chelsea, Frank Lampard meminta syarikat media sosial supaya mendaftar pengguna mereka dalam usaha menangani komen perkauman selepas pertahanan Kurt Zouma muncul pemain terbaru menjadi mangsa cemuhan dalam Twitter, malam tadi.

Zouma menjadi sasaran selepas dia menjaringkan gol sendiri lewat perlawanan ketika Chelsea seri 2-2 dengan Sheffield United di Stamford Bridge.

“Kita perlu melihat kepada media sosial dan platform, dan memberikan tanggungjawab kepada orang yang mendaftar, jadi mereka boleh dikenakan tindakan,” kata Lampard kepada wartawan.

“Malangnya dalam masyarakat moden ia ada di luar sana dan perlu ditangani.”


ZOUMA (kiri) ditenangkan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga. — FOTO Reuters

Ditanya jika Chelsea akan bertemu syarikat media sosial untuk cuba menyelesaikan masalah itu, beliau berkata: “Saya fikir kami bercadang melakukannya.”

Beberapa pemain kulit hitam menjadi mangsa cemuhan dalam talian termasuk penyerang Chelsea, Tammy Abraham dan pemain tengah Manchester United, Paul Pogba baru-baru ini.

Awal bulan ini, wakil Twitter menyatakan syarikat itu akan bertemu dengan Manchester United dan kempen anti perkauman Kick It Out tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 11:36 AM