PENYOKONG negara menaikkan kain rentang bertemakan kemerdekaan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

SOKONGAN padu kira-kira 15,000 penyokong Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin berjaya menggerunkan pengendali Jordan, Vital Borkelmans yang sekali gus kagum dengan apa yang dilihatnya.

Bagi beliau, bukan mudah untuk melihat kelompok besar penyokong yang tetap setia di belakang pasukan walaupun ketinggalan.

Pada perlawanan itu, Harimau Malaya terpaksa akur dengan kekebalan Jordan apabila tewas 0-1 di tangan pasukan ranking ke-99 dunia itu.

Borkelmans mengaku, senario hebat seperti yang ditimbulkan penyokong Harimau Malaya itu adalah yang pertama dilihatnya sepanjang bergelar jurulatih dan beliau percaya, faktor itulah juga yang membuatkan pemain negara terus berusaha memburu jaringan.

Pengendali berusia 56 tahun itu berkata, Malaysia mempunyai ramai pemain berkualiti dan harus ‘dijaga’ sebaik mungkin untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.


BORKELMANS. FOTO Owee Ah Chun

“Saya sudah terbabit dalam dunia bola sepak untuk tempoh yang lama dan perlawanan malam ini (kelmarin) cukup mengejutkan apabila melihat sokongan padu daripada penyokong tempatan.

“Jurulatih Malaysia perlu melakukan sesuatu kepada pemain kerana mereka sangat berbakat dan berkualiti, malah ditambah pula sokongan daripada penyokong, ia pasti akan menghasilkan kejayaan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan kelmarin.

Anak buah Tan Cheng Hoe tampil meyakinkan apabila mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan dari Asia Tengah itu sepanjang 90 minit perlawanan.

Bagaimanapun, sedikit kesilapan yang dilakukan pertahanan negara pada babak awal perlawanan membolehkan kapten Jordan, Said Morjan menyumbat gol tunggal perlawanan pada minit ke-7.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 6:01 AM