ICARDI menuntut agar dapat menjalani latihan penuh dan ganti rugi 1.5 juta euro (RM6.94 juta). FOTO Agensi
AFP

PENYERANG Inter Milan Mauro Icardi memulakan tindakan undang-undang terhadapa kelab Serie A itu, menuntut agar dapat menjalani latihan penuh dan ganti rugi 1.5 juta euro (RM6.94 juta) menurut laporan di Itali awal pagi tadi.

Pemain Argentina itu yang tidak lagi menjadi kapten kelab musim lalu susulan perbalahan berpanjangan mengenai kontrak diberitahu dia tidak lagi menjadi sebahagian daripada perancangan kelab di bawah jurulatih baharu Antonio Conte.

Pemain berusia 26 itu terus berlatih bersama pasukan tetapi tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam sesi taktikal penuh.

Peguamnya menulis surat kepada kelab menyatakan tuntutannya, lapor Gazzetta dello Sport dan Sky Sport Italia.

Isteri dan juga ejen Icardi, Wanda Nara, menegaskan pemain itu mahu kekal di Inter yang disertainya sejak 2013 sejak menyertainya daripada kelab pencabar Sampdoria.

Icardi muncul penjaring bersama terbanyak dalam kempen Serie A2017-18 dengan 29 gol tetapi hanya menjaringkan 11 gol musim lalu selepas 53 hari diketepikan apabila tempatnya sebagai kapten pasukan digantikan penjaga gol Samir Handanovic.

Pemain Argentina itu dikaitkan dengan perpindahan dari Inter pada musim panas ke kelab termasuk Juventus, Napoli, Roma, kelab Perancis Monaco dan Atletico Madrid di Sepanyol, dengan jendela perpindahan berakhir 2 September.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 12:55 PM