Choupo Moting (tengah) ketika menewaskan Metz 2-0. FOTO EPA
Reuters

PARIS St Germain tidak terganggu dengan ketiadaan tiga penyerang utama mereka untuk menewaskan Metz 2-0 di tempat lawan awal pagi tadi ketika satu lagi insiden menyaksikan perlawanan ditangguhkan seketika.

Skuad juara itu beraksi tanpa Kylian Mbappe dan Edinson Cavani akibat kecederaan manakala pemain termahal dunia Neymar masih belum diturunkan untuk kelab itu ketika dia masih cuba untuk mencari jalan untuk kembali ke Barcelona.

PSG mendahului seawal minit ke-11 apabila Angel di Maria memanfaatkan penalti dengan memperdayakan penjaga gol, selepas sepakan percumanya gagal disempurnakan ketika menang 4-0 ke atas Toulouse minggu lalu.

Permainan dihentikan seketika oleh pengadil untuk beberapa minit susulan penyokong tuan rumah menujukkan kain rentang yang dianggap membawa mesej kurang menyenangkan pihak tertentu.

Penyerang PSG dari Cameroon Eric Maxim Choupo-Moting menggandakan jaringan dengan tandukan sebelum tamat separuh masa, jaringan ketiganya dalam dua aksi liga selepas meledak dua gol ke atas Toulouse.

Skuad kendalian Thomas Tuchel tidak berdepan masalah besar pada separuh masa kedua dan dengan mudah merekodkan kemenangan ketiga dalam empat perlawanan Ligue 1, perlawanan pertama di tempat lawan selepas tewas 1-2 kepada Rennes dua minggu lalu.

Kemenangan itu meletakkan PSG di puncak Ligue 1 dengan kelebihan sembilan mata berbanding pasukan lain pada aksi hujung minggu. Metz mengumpul empat mata daripada empat perlawanan setakat ini.

“Pasukan menunjukkan kesungguhan yang tinggi, ia bukan permainan yang menakjubkan tetapi masih memberikan cabaran serius,” kata Tuchel.

“Jelas sekali kami kekurangan kualiti di bahagian serangan untuk mencipta lebih banyak peluang tetapi adalah penting bahawa kami menang lagi, dengan situasi yang kami hadapi (dengan ketiadaan ramai pemain).”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 8:59 AM