WAN Abdul Rahim (kiri) ketika sidang media pada Majlis Menandatangani Perjanjian antara KAFA dan MQ Teknologi Bhd di Hotel Pullman Bangsar.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Merdeka! Skuad Kelantan benar-benar menikmati erti sebenar kemerdekaan apabila skuad Pantai Timur itu menerima suntikan dana kira-kira RM3 juta yang akan digunakan untuk menyelesaikan sebahagian besar tunggakan gaji pemain The Red Warriors (TRW), semalam.

Bagaimanapun, ia tidak dicapai dengan mudah sebaliknya Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terpaksa menjual 70 peratus saham Team Red Warrior (TRW) Sdn Bhd kepada MQ Teknologi Berhad.

TRW Sdn Bhd ditubuhkan untuk menguruskan pasukan Kelantan dengan KAFA kini hanya memegang 30 peratus saham syarikat terbabit.

Menerusi penjualan saham itu, KAFA tiada lagi kuasa mutlak dalam soal pengurusan pasukan Kelantan sebaliknya mereka akan hanya menumpukan perhatian kepada soal pembangunan akar umbi bagi membentuk pelapis berkualiti.

Dana yang diterima KAFA itu akan digunakan untuk menyelesaikan gaji tertunggak pemain, menjelaskan hutang lapuk serta bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Presiden KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pembayaran semua tunggakan itu akan dilakukan bermula 15 September dengan tempoh maksimum 10 bulan, sekali gus bakal menyaksikan keseluruhan hutang yang dipikul badan induk itu selesai sepenuhnya.

“Kami akan berbincang dengan bekas pemain termasuk KWSP untuk melakukan penjadualan semula bagi membuat pembayaran tunggakan secara berperingkat sehingga semuanya selesai.

“Hutang yang ditanggung KAFA adalah sejak 1998 membabitkan empat pemerintahan presiden sebelum ini dengan nilai keseluruhan membabitkan RM6.2 juta.

“Selepas ini terpulang kepada pengurusan baharu TRW Sdn Bhd untuk menguruskan Kelantan termasuk mengambil pemain import bagi mengukuhkan pasukan,” katanya dalam sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan dan Penyerahan Cek RM3 juta, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan penyakit lama tetap menghantui Kelantan apabila skuad utama dibelenggu tunggakan gaji hampir tiga bulan sekali gus membayangkan pasukan terbabit bagaikan retak menanti belah.

Situasi sama turut melanda skuad piala presiden Kelantan dengan tunggakan sudah mencecah lima bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 6:00 AM