Azeem menyerlah di Kuala Terengganu. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


JAGUH pecut remaja, Muhammad Azeem Fahmi yang mendapat gelaran ‘Usain Bolt Malaysia’ kembali mencuri tumpuan.

Azeem, 15, merekodkan 10.43 saat untuk muncul juara di Sirkit Olahraga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Kuala Terengganu, semalam.

Bagaimanapun catatan itu tidak diiktiraf apabila ia bukan catatan masa elektronik.

Bagaimanapun Azeem tetap berpuas hati dengan prestasinya tahun ini sebelum berehat seketika untuk memberi tumpuan kepada Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

"Masa itu tidak boleh diiktiraf sebab ia adalah 'hand timing'.

Jika masa elektronik mungkin catatannya sekitar 10.50, 10.60s macam itu.

"Tapi saya puas hati sebab prestasi saya konsisten," katanya, dijangka kembali beraksi di Kejohanan Innotex Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada 16 dan 17 November depan.

Nama Azeem sebelum ini kembali menggegar arena olahraga negara selepas cemerlang dalam acara 200m apabila merakam 21.15s di Kejohanan Sekolah-Sekolah Sukan Thailand (TSSG) di Khon Kaen awal bulan ini seterusnya muncul pelari ketiga terpantas negara dalam acara itu.

Ia menjadikannya sebagai pelari bawah usia 16 tahun terpantas dunia ketika itu dan terbaik sepanjang zaman dalam kategori usia 14 tahun.

Kelibat Azeem mula mencuri tumpuan Mac lalu apabila memenangi acara 100m pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara di Filipina.Dia mempamerkan larian bertenaga apabila melakukan 10.69s untuk melakar rekod baharu kejohanan.

Aksinya terus mencuri tumpuan sebulan kemudian apabila mencatat 21.24s saat dalam acara 200m pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 3:54 PM