PENYERANG Argentina, Sergio Aguero (tiga kanan) masih menjadi sandaran Guardiola. — FOTO premierleague.com
AFP

MANCHESTER City mungkin ketinggalan dua mata di belakang Liverpool pada awal musim bagi perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris namun peluang menanti pasukan juara itu dalam tempoh dua bulan bermula dengan kunjungan Brighton ke Etihad malam esok.

Kehadiran Seagulls adalah aksi pertama daripada lapan perlawanan Liga Perdana yang akan dihadapi anak buah Pep Guardiola menentang pasukan di luar kelompok “enam teratas” sebelum aksi getir kunjungan ke Liverpool pada 9 November depan.

Ia mungkin melihatkan City bertandang ke Anfield dengan pendahuluan selesa dalam perebutan kejuaraan ketika Liverpool terpaksa berdepan Chelsea, Manchester United dan Tottenham dalam tempoh itu.

Berdasarkan dua musim terdahulu ketika City merangkul kejuaraan, Guardiola menjangkakan pasukannya akan meraih mata maksimum dalam beberapa bulan akan datang.


GUARDIOLA hanya perlu mengekalkan standard pasukannya. — FOTO premierleague.com

Termasuk kemenangan selesa musim ini di laman lawan menentang West Ham dan Bournemouth - dengan jumlah jaringan 8-1 - sejak permulaan musim 2017-18, City sudah menang 50 daripada 58 perlawanan yang dilalui menentang 14 kelab di luar kelompok enam teratas Liga Perdana.

Liverpool, pasukan tunggal yang memulakan musim baharu dengan tiga kemenangan dalam tiga perlawanan, pasti berharap City akhirnya mula merudum.

Namun ketika semua kelab kecuali dua gergasi barat laut England itu mempamerkan prestasi tidak menentu, hakikatnya kejuaraan mungkin menjadi perlumbaan dua penjuru bila mana dua kelab itu bertemu November depan.

Selepas Brighton, City berdepan aksi di tempat sendiri menentang Watford, Wolves, Aston Villa dan Southampton selain bertandang ke Norwich, Everton dan Crystal Palace.


RAHEEM Sterling antara penyerang harapan Guardiola mencetak gol. — FOTO premierleague.com

Guardiola menegaskan beliau hanya perlu menumpukan usaha untuk mengekalkan standard yang ditetapkannya pada musim kedua dan ketiga kendaliannya.

“Saya tidak akan memikirkan mengenai mata yang kami perlukan untuk menjadi juara atau Liverpool akan memenanginya atau kami memenanginya,” katanya.

“Saya sedar lawan yang kami hadapi Liverpool dan semua pasukan lain, terutama pasukan pencabar, tapi apa yang kami lihat, sejak hari pertama saya berada di sini, adalah cuba bermain dengan cara kami bermain.

“Saya fikir kami menceriakan sukan ini, kami menceriakan orang yang hadir membayar tiket untuk menyaksikan kami bermain dan lihat bagaimana jujurnya kami - bermain untuk mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 11:35 AM