LUCAS (kiri) gagal dalam cubaannya melakukan sepakan gunting menentang Newcastle, hujung minggu lalu. — FOTO AFP
Reuters

TOTTENHAM Hotspur amat memerlukan suntikan keyakinan dan aksi pertembungan jiran setempat utara London menentang musuh tradisi Arsenal, Ahad ini mampu memenuhi impian mereka itu.

Spurs mengalami kekalahan mengejut di laman sendiri di tangan Newcastle United hujung minggu lalu, persembahan hambar yang membuktikan mereka belum mendapat rentak lagi pada kempen kali ini.

Ketika pengurus Mauricio Pochettino kurang bersemangat dan bimbang mengenai kemungkinan hilang beberapa pemain sebelum jendela perpindahan Eropah ditutup, ada suasana aneh di sekitar kelab itu yang muncul naib juara Liga Juara-Juara musim lalu.

Seperti yang diperkatakan penyerang Brazil, Lucas Moura, pertembungan musuh setempat mampu melonjakkan mereka semula.


LUIZ (kanan) perlu tingkatkan permainannya berdepan Kane dan Heung Min. — FOTO premierleague.com

“Adakah ini perlawanan sempurna buat kami selepas kalah dengan Newcastle? Ya. Kami perlu memandang ke depan sekarang. Ada banyak perlawanan sukar menanti. Kami perlu kembali bekerja dan memenangi perlawanan berikutnya menentang Arsenal,” kata Lucas.

Gunners mengalami kekalahan pertama minggu lalu, tewas 1-3 di kelab pendahulu awal Liverpool dan terdesak untuk mengelak kekalahan pada pertembungan musuh setempat.

Pengurus dari Sepanyol, Unai Emery mungkin memilih untuk menurunkan tiga penyerang serentak dengan pemain baharu Nicolas Pepe memukau di sayap kanan sekali gus menawarkan pilihan rangkaian serangan dengan Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang.

Pertahanan Brazil, David Luiz, yang dibeli dari Chelsea pada hujung musim, berdepan detik sukar menangani penyerang Liverpool, Mohamed Salah di Anfield dan perlu meningkatkan permainannya berdepan Harry Kane dan Son Heung Min.


PEPE memukau perhatian Emery di Anfield minggu lalu. — FOTO premierleague.com

Liverpool bertandang ke Burnley Sabtu ini bagi perlawanan yang dianggap pengurus Juergen Klopp sebagai “menyulitkan” buat pasukannya.

Di atas kertas, pasukan yang menikmati rekod kelab 12 kemenangan liga berturut-turut dan menjaringkan sembilan gol dalam tiga aksi terakhir, sepatutnya tidak begitu bimbang menentang Clarets, yang menghabiskan musim lalu bergelut mengelak penyingkiran.

Sekalipun Liverpool menang pertemuan musim lalu 3-1 di Turf Moor, mereka ketinggalan hingga minit ke-62 dan Klopp pasti teringat kekalahan 0-2 di tangan anak buah Sean Dyche tiga tahun lalu.

Juara bertahan Manchester City dua mata di belakang Liverpool namun dijangka tidak berdepan masalah di Etihad menentang Brighton.

Pasukan kendalian Pep Guardiola memastikan kejuaraan dengan kemenangan 4-1 di Brighton pada hari terakhir musim, sekalipun kelab pantai selatan itu sudah mengukuhkan pasukan mereka sejak itu dan mempunyai pengurus baharu Graham Potter.

Sesudah menewaskan Chelsea 4-0 pada aksi pembukaan musim, Manchester United kendalian Ole Gunnar Solskjaer seri di Wolves dan kalah di laman sendiri kepada Crystal Palace lantas kunjungan ke Southampton Sabtu ini menjadi ujian mengenai keupayaan pasukan muda United untuk bangkit.

Chelsea kendalian Frank Lampard, yang menang aksi pertama musim ini di Norwich City, melayan kunjungan Sheffield United Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 1:03 PM