PEMAIN B-18 mula mendapat pujian peminat.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) boleh dianggap berjaya selepas aksi pemain skuad B-15 dan B-18 semakin kerap diperkatakan peminat bola sepak tanah air.

Bekas pengendali Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, produk yang satu ketika dulu dikritik pelbagai pihak, sudah mula menunjukkan hasil, malah ia akan menjadi penanda aras kepada sukan bola sepak negara pada masa akan datang.

Katanya, kecemerlangan skuad B-15 dan B-18, baru-baru ini membuktikan Malaysia bukan lagi pasukan belasahan dan bakal mempersiapkan barisan skuad senior yang lebih mantap nanti.

“Sudah tentu kecemerlangan mereka menarik minat pasukan daripada liga tempatan dan tidak hairan ada juga kelab luar mungkin akan memancing mereka nanti. Keberkesanan NFDP sudah terbukti sekarang dan diharap program terbabit diteruskan pada masa akan datang selain ditambah baik lagi,” katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) dijangka mengalami perubahan drastik dalam tempoh beberapa tahun mendatang apabila generasi pertama NFDP mula menyertai liga tempatan.


AZRAAI

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar berkata, sasaran awal NFDP ketika penubuhannya pada 2014 bukan saja untuk layak ke Piala Dunia Remaja 2019, malah program itu juga disasarkan untuk melahirkan 50,000 pemain berkualiti menjelang 2020 bagi mengubah budaya dan landskap bola sepak tempatan.

Katanya, hasil pendedahan dan latihan berterusan pemain NFDP sejak berusia 12 tahun yang dikendalikan jurulatih terbaik dengan asas permainan bola sepak moden, ia dijangka membawa suntikan baharu kepada liga tempatan dan skuad kebangsaan.

Sementara itu, bekas pengendali Harimau Muda B, Razip Ismail berkata, persembahan mantap pemain NFDP sudah tentu menarik minat jurulatih tempatan.

“Pemain terbabit membawa aura baharu dalam pasukan dan kehadiran mereka akan mengukuhkan lagi posisi tertentu menerusi kemahiran yang diterapkan ketika menyertai NFDP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 6:00 AM