DHABITAH sertai Kejohanan Terjun Piala Asia.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com


SKUAD terjun negara berpeluang cerah mendapatkan dua lagi slot ke temasya Olimpik Tokyo 2020 apabila turun beraksi di Kejohanan Terjun Piala Asia dari 6 hingga 8 Oktober ini.

Ia kejohanan kedua menawarkan tempat ke Olimpik dalam acara terjun selepas tiga penerjun negara Pandelela Rinong (10m platform individu, 10m platform seirama), Leong Mun Yee (10m platform seirama) dan Wendy Ng (3m papan anjal individu) terlebih dahulu layak ke Olimpik selepas cemerlang di Kejohanan Dunia di di Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan, Julai lalu.

Sandaran kini diletakkan kepada Nur Dhabitah Sabri dan dua penerjun lelaki negara, Chew Yiwei dan Ooi Tze Liang dalam acara 3m papan anjal individu dan perlu muncul juara untuk layak secara merit ke Olimpik.

Beraksi di tempat sendiri, ketiga-tiga atlet berkenaan dilihat mempunyai peluang cerah apabila Dhabitah hanya perlu mengatasi rakan senegara Jasmine Lai dan dua pesaing dari Indonesia iaitu Anasti Maria Natalie Dinda dan Yasmin Linadini.

Justeru, atlet berusia 22 tahun itu berharap Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil akan terus menjadi venue bertuah bagi dirinya selepas empat tahun lalu dia turut berjaya melayakkan diri ke Olimpik Rio di kejohanan dan venue sama selepas meraih emas acara 10m platform individu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 9:23 PM