PENYOKONG Harimau Malaya boleh menyaksikan perlawanan di Stadium Utama Gelora Bung Karno dengan tenang selepas diberi jaminan keselamatan oleh PSSI.
BERNAMA

KERAJAAN Indonesia memberi jaminan keselamatan kepada penyokong bola sepak negara bagi menyaksikan perlawanan sulung Kumpulan G, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Indonesia di Jakarta, pada 5 September depan.

Jaminan itu diberikan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan mesyuarat kedua dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) di Pejabat PSSI di Jakarta, semalam.

FAM dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat diadakan bersama Ketua Unit Keselamatan PSSI, Nugroho Setiawan itu membincangkan tentang pelan keselamatan komprehensif bagi penyokong Malaysia yang akan menyaksikan perlawanan tersebut.

Satu perjumpaan bersama pihak Kepolisian Daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) turut diadakan untuk merangka kerjasama serta memperincikan perihal aspek keselamatan penyokong Malaysia sepanjang berada di Jakarta, nanti.

"Pihak Polda Metro Jaya dan PSSI akan melaksanakan kawalan keselamatan ketat dan teratur bagi perlawanan tersebut bagi memastikan keselamatan penyokong Malaysia pada sebelum, semasa dan selepas perlawanan adalah terjamin," menurut FAM.

Itu adalah mesyuarat kedua delegasi FAM ke Jakarta selepas perbincangan kali pertama pada 20 Ogos lepas bersama Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria.

Ratu Tisha telah memberi jaminan pihaknya akan memenuhi beberapa permintaan FAM, terutama berhubung soal keselamatan pemain dan penyokong Malaysia bagi memastikan perlawanan di Stadium Utama Gelora Bung Karno itu berlangsung lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 6:04 PM