MBAPPE mengalami kecederaan ketika perlawanan Ligue 1 menentang Toulouse, semalam.
AFP

BINTANG Paris Saint-Germain Kylian Mbappe tidak akan beraksi selama empat minggu dan Edinson Cavani selama tiga minggu selepas kedua-duanya mengalami kecederaan ketika perlawanan Ligue 1 menentang Toulouse semalam, umum juara Perancis itu.

Mbappe, bintang Piala Dunia dari Perancis itu berjalan terhincut-hincut selepas mengalami kecederaan hamstring kirinya ketika membuat pecutan dalam aksi di mana mereka menang 4-0 di Parc des Princes.

Kecederaan itu bermakna dia akan terlepas aksi pembukaan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara yang dijangka pada 17 atau 18 September ini.

Dia juga dijangka tidak dapat beraksi dalam tiga perlawanan liga dan kelayakan Perancis ke Euro 2020 menentang Albania di laman sendiri dan Albania awal bulan depan.

Rakan penyerang, Cavani pula mengalami kecederaan pinggul dalam perlawanan sama dan PSG mengesahkan pemain Uruguay itu tidak akan beraksi selama tiga minggu, bermakna dia berpeluang diturunkan untuk permulaan kempen Liga Juara-Juara.

Pengganti Cavani, Eric Maxim Choupo-Moting, menjaringkan dua gol dan Marquinhos turut menjaringkan gol buat PSG dan satu daripadanya masuk ke gawang sendiri.

Penalti Angel Di Maria juga berjaya diselamatkan ketika anak buah Thomas Tuchel bangkit daripada tewas 1-2 kepada Rennes sebelum itu.

Bagaimanapun kecederaan dua bintang utama mereka hadir ketika masa depan Neymar masih belum terungkai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 11:41 PM