GRIEZMANN (kanan) menjaringkan gol pertama Barca selepas ketinggalan 0-1. — FOTO Reuters
Reuters

DUA gol sumbangan Antoine Griezmann membantu Barcelona kembali mencetak kemenangan apabila membelasah Real Betis 5-2 pada aksi La Liga Sepanyol.

Sesudah juara bertahan itu dikejutkan Athletic Bilbao 1-0 pada aksi pembukaan liga minggu lalu, mereka bangkit dengan bergaya di Nou Camp awal pagi tadi.

Jaringan Carles Perez, Jordi Alba dan Arturo Vidal melengkapkan hari bersejarah buat kelab Catalan itu ketika mereka meraikan penampilan ke-500 pemain pertahanan Gerard Pique bersama kelab itu.

Barca, tanpa penyerang terbilang Lionel Messi yang cedera, bermula buruk dan ketinggalan apabila Nabil Fekir menjaringkan gol dari sudut sukar pada minit ke-15.


CARLES Perez (kanan) menyumbat gol ketiga Barcelona di Nou Camp. — FOTO Reuters

Griezmann, yang menyertai Barca dari kelab musuh ketat Atletico Madrid bulan lalu, menjaringkan gol empat minit sebelum rehat untuk menyamakan kedudukan.

Gol sulung pemenang Piala Dunia dari Perancis untuk kelab itu ternyata menjadi pemangkin buat juara Sepanyol itu yang membenam empat gol tanpa balas dalam tempoh 27 minit babak kedua.

“Saya gembira dengan apa yang mereka lakukan pada babak pertama, tapi apabila anda ketinggalan, anda selalu berasakan ada perkara yang perlu diubah,” kata jurulatih Ernesto Valverde.

“Kami perlu menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 1-1 dan mengubah keadaan lebih baik dan kami patut meledak gol kedua [sebelum rehat]. Tempo perlawanan amat tinggi dan kami sukakannya.”

Malah Valverde mampu membawa masuk pemain akademi Ansu Fati, pada usia 16 tahun 298 hari muncul pemain kedua termuda tampil bersama Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 8:08 AM