AZIZULHASNI (kiri) bersaing dengan Muhd Fadhil dalam acara pecut 200 meter elit lelaki, semalam. FOTO Adzlan Sidek
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


AZIZULHASNI Awang berjaya melaksanakan misi untuk mengukuhkan kedudukan ranking dalam acara pecut individu selepas memenangi emas di Kejohanan Trek Kebangsaan, semalam.

Ia adalah kejayaan keduanya di Velodrom Nasional selepas memenangi acara sama di Kejohanan Trek Asia Tenggara, Khamis dan Jumaat lalu.

Dua kejayaan itu membolehkan dia menambah mata dan mengukuhkan kedudukan ranking dunia dalam acar berkenaan.

“Banyak juga mata yang diraih pada dua kejohanan ini dan mungkin bertambah lagi pada satu lagi kejohanan di China pada hujung minggu nanti.

“Kedudukan sudah ‘OK’ cuma mahu mantapkan lagi. Saya tidak pasti mungkin 32 pelumba terbaik akan layak ke saingan siri Piala Dunia November nanti,” jelasnya.

The Pocket Rocketman kini berada di kedudukan 24 dunia dalam pecut individu selain selesa dalam acara keirin apabila menduduki ranking keenam.

Bagaimanapun, kejayaan muncul juara kebangsaan dalam acara pecut individu tidak diraih dengan mudah apabila dia terpaksa bersaing dalam tiga siri perlumbaan.

Rakan sepelatih, Mohd Fadhil Zonis memberikan tentangan sengit apabila memenangi perlumbaan kedua selepas tewas pada perlumbaan pertama.

Azizulhasni bagaimanapun, bangkit memenangi perlumbaan ketiga untuk muncul juara selepas dia turut memenangi emas acara 1km ujian masa pada sebelah pagi.

“Bangga dengan persembahan dan peningkatan Fadhil. Manakala saingan sebelah pagi (1km ujian masa) adalah lebih kepada latihan dan tidak sangka menang kerana ia acara kegemaran Fadhil,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:45 AM