Sterling meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
Aguero membuat percubaan ke arah gawang Bournemouth. FOTO REUTERS
AFP

PEP Guardiola memuji David Silva sebagai ‘salah seorang pemain terbaik’ pernah disaksikannya selepas pemain tengah Sepanyol itu menjadi inspirasi Manchester City menang 3-1 di Bournemouth pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.

Silva yang juga kapten City terbabit dalam semua tiga jaringan yang membolehkan juara bertahan EPL itu mencatat kemenangan kedua dalam saingan musim ini.

Pemain berusia 33 tahun itu melakukan gerakan menarik buat Sergio Aguero dan Raheem Sterling malah ketiadaannya nanti pasti dirasakan apabila meninggalkan City pada penghujung musim.

Bos City, Guardiola pantas memuji kelas dipamerkan oleh Silva pada penampilan ke-400 untuk kelab itu.

“Dia bermain begitu mengagumkan. David dalam permainan seperti ini berdepan barisan pertahanan lawan begitu kental bertahan, ia sangat bagus” kata Guardiola.

“Dia salah seorang pemain terbaik saya pernah saksikan.”

Jaringan penyudah Sterling membolehkan pemain sayap City itu meledak enam gol dalam empat penampilan bersama kelab itu pada penggal ini dan Guardiola memuji sumbangan pemain berusia 24 tahun itu pada saat genting.

“Kami tidak mendapat banyak peluang tetapi Raheem masih menjaringkan gol yang bagus untuk kami,” katanya.

City mendapat gol menerusi Sergio Aguero pada m-15 dan m-64 serta Sterling (m-43) manakala Bournemouth mendapat gol saguhati menerusi sepakan percuma Harry Wilson pada masa kecederaan babak pertama.

Kemenangan itu juga meletakkan City mengumpul tujuh mata, dua mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 12:28 AM