Azizulhasni mewakili pasukan Terengganu melakukan aksi selepas berjaya meraih pingat emas. FOTO ADZLAN SIDEK
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


AZIZULHASNI Awang mencapai misi mengukuhkan kedudukan rankingnya dalam acara pecut individu selepas unggul memenangi emas di Kejohanan Trek Kebangsaan, hari ini.

Dia bagaimanapun bangkit memenangi perlumbaan ketiga untuk meraih juara kebangsaan kedua selepas memenangi 1km ujian masa pada sebelah pagi.

Ia adalah kejayaan keduanya di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan selepas memenangi pecut individu di Kejohanan Trek Asia Tenggara pada Khamis dan Jumaat lalu.

Dua kejayaannya membolehkan dia mengumpul mata dan mengukuhkan kedudukan ranking dunia bagi pecut individu.

"Banyak juga mata diraih pada dua kejohanan dan mungkin bertambah lagi pada satu kejohanan di China pada hujung minggu nanti.

"Kedudukan sudah OK cuma mahu mantapkan lagi.

Saya tidak pasti mungkin 32 pelumba terbaik akan layak ke saingan siri Piala Dunia pada November nanti," jelas Azizulhasni atau Jijoe.

The Pocket Rocketman kini berada di kedudukan 24 dunia dalam pecut individu dan sudah selesa dalam keirin iaitu keenam dunia.

Bagaimanapun kejayaan mencapai juara kebangsaan pecut individu tidak diraih dengan mudah apabila bersaing dalam tiga siri perlumbaan.

Rakan sepelatihnya, Mohd Fadhil Zonis memberikan tentangan sengit apabila memenangi perlumbaan kedua selepas tewas pada perlumbaan pertama.

"Bangga dengan persembahan dan peningkatan Fadhil.

Manakala saingan sebelah pagi (1km ujian masa), adalah lebih kepada latihan dan tidak sangka kerana ia acara kegemaran Fadhil," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 7:52 PM