NWAKAEME diasak pemain Sabah, Evan Wensley Wenceslaus dalam perlawanan Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Makmur, malam tadi. FOTO Muhd Asyraf Sawal
BERNAMA

DUA tonggak utama Pahang, Dickson Nwakaeme dan Muhammad Safuwan Baharudin mungkin terpaksa direhatkan pada baki dua perlawanan saingan Kumpulan C Piala Malaysia.

Ketua Jurulatih Pahang Dollah Salleh berkata, mereka perlu mengambil pendekatan berhati-hati terhadap dua pemain itu, yang masing-masing menerima dua kad kuning.

“Kami harus lebih berjaga-jaga kerana tumpuan utama sekarang adalah untuk perlawanan suku akhir,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan menentang Sabah di Stadium Darul Makmur di Kuantan, semalam.

Pada saingan itu, Tok Gajah menundukkan Sabah 1-0 menerusi jaringan Nwakaeme pada minit ke-57.

Kemenangan itu membolehkan Pahang menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat dalam pusingan suku akhir Piala Malaysia 2019 selepas mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Kumpulan C.

“Walaupun telah layak ke suku akhir, kami tidak mahu pemain mengambil mudah dan bersikap sambil lewa dalam menghabiskan dua lagi baki perlawanan saingan kumpulan,” kata Dollah.

Sementara itu, Sabah yang terperosok ke kedudukan tercorot Kumpulan C berikrar untuk memperbaiki dan memantapkan lagi corak kesediaan pasukan itu pada musim hadapan.

Ketua Jurulatihnya Jelius Tabias Ating memberi jaminan mereka akan memanfaatkan baki dua perlawanan saingan kumpulan bagi menjaga kredibiliti pasukan.

“... ini yang perlu dipertahankan, kami juga harus menggunakan peluang ini untuk melihat bagaimana kami dapat membentuk pasukan lebih baik tahun hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 9:22 AM