DR Mohd Gazali (tengah) menyampaikan trofi Juara Keseluruhan Kejohanan SIPMA ke 8 Selangor 2019 kepada Razuki (tiga dari kanan) pada Majlis Penutup SIPMA 2019 di UNITEN.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


MAJLIS Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) membuktikan kejaguhan mereka apabila mempertahankan kejuaraan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2019 buat kali kelapan berturut-turut.

Angka lapan seakan tuah buat mereka apabila bukan saja mencatat kejuaraan kelapan, malah kejohanan SIPMA membabitkan lapan kontinjen, lapan acara sukan, lapan hari kejohanan dan berlangsung pada Ogos.

MSSM menutup kejohanan bermula 17 Ogos lalu dengan meraih keseluruhan 97 pingat iaitu 40 pingat emas, 35 perak dan 22 gangsa.

Tempat kedua milik Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA) dengan 29 emas, 24 perak dan 19 gangsa dan ketiga, Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dengan 22 emas, 28 perak dan 31 gangsa.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merangkap ketua kontinjen MSSM, Razuki A Rahim ketika ditemui tidak dapat menyembunyikan kegembiraan atas kejayaan dicapai atletnya.

Beliau menafikan kontinjen lain tidak memberi saingan sebaliknya, kelebihan memihak atlet MSSM berikutan latihan intensif dilakukan sepanjang tahun termasuk menyertai pelbagai kejohanan sukan dalam dan di luar negara.

“Bukan (kami) tidak digugat langsung tapi atlet kita berlatih sepanjang tahun termasuk dalam lapan sukan dipertandingkan di SIPMA 2019.

“Contohnya ada atlet baru balik dari Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean di Semarang, Indonesia. Jadi peluang kita memang ada dan kita dah tahu kekuatan terutama sekali dalam renang dan olahraga.

“Tapi dalam sukan berpasukan cabaran amat hebat seperti ‘adik lawan abang’ kerana perbezaan usia atlet. “Misalnya dalam skuasy ada pelajar kita berusia 14 dan 15 tahun terpaksa bersaing dengan atlet yang lebih dewasa, tapi mereka berjaya beri saingan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penutup SIPMA 2019 yang disempurnakan Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Mohd Gazali Abas di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di sini, semalam.

Hadir sama Naib Canselor UNITEN, Profesor Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 5:49 PM