AHMAD HAZWAN BAKRI
Syazwan Msar
mohsyazwan@hmetro.com.my


“KEMAMPUAN individu pemain lebih penting daripada pencapaian kelab yang diwakili.”

Begitu kata pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, yang mempertahankan pemilihan 27 pemain menjelang pertemuan persahabatan berdepan Jordon dan perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bertemu Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelak.

Menurut Cheng Hoe, beliau mempunyai alasan dan sebab sendiri pemain terbabit dipilih kerana lebih melihat kepada kemampuan individu selain terpaksa menggunakan apa yang ada untuk mengisi kekosongan posisi.

Beliau berkata, skuad Harimau Malaya kekurangan pemain di bahagian serangan dan khidmat Ahmad Hazwan Bakri diperlukan bagi mengisi kekosongan itu.

“Seperti saya maklum sebelum ini, kita ada masalah di bahagian serangan dan Hazwan dipanggil kerana percaya dia boleh menggalas cabaran itu.

“Jika ada pemain lain yang boleh dipanggil, pihak berkaitan boleh senaraikannya dan beritahu kenapa perlu memanggil penyerang itu bagi menyahut cabaran negara.

“Luqman Hakim pula terlalu muda dan tidak biasa dengan liga kompetatif, jadinya biarlah dia menimba pengalaman dulu sebelum dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Selain itu, berkaitan pemain kelab yang tersingkir daripada Liga Super dipanggil menjalani latihan, Cheng Hoe berkata, beliau tidak boleh melihat kejayaan kelab terbabit semata-mata dalam membuat pemilihan pemain.

“Ada antara pemain sebenarnya mempunyai kebolehan yang bagus cuma tidak bernasib baik apabila pasukan atau kelabnya gagal menyerlah hingga menghuni tangga bawah liga,” katanya.

Cheng Hoe turut menjelaskan semua pemain yang dipanggil masih belum selamat kerana hanya 23 pemain yang akan dipilih selepas aksi persahabatan berdepan Jordan, 30 Ogos ini untuk mengharungi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bermula bulan depan.

“Ini peluang terbaik buat semua pemain bersaing merebut tempat dalam skuad kebangsaan terutama mereka yang kali pertama saya panggil iaitu Brendan Gan, J Partiban dan Danial Amier Norhisham,” katanya.

Harimau Malaya akan memulakan kempen kelayakan dalam Kumpulan G berdepan Indonesia di Jakarta, 5 September ini sebelum menentang UAE, Vietnam dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 5:00 AM