TORRES (kanan) bersaing dengan rakan karibnya Iniesta pada perlawanan Liga-J antara Sagan Tosu dan Vissel Kobe, malam ini. — FOTO EPA
Agensi

PEMENANG Piala Dunia bersama Sepanyol, Fernando Torres bermain aksi terakhirnya sebagai pemain profesional sebelum bersara.

Bekas penyerang Atletico Madrid, Liverpool dan Chelsea berusia 35 tahun itu menamatkan kariernya di Jepun bersama Sagan Tosu, malam ini.

Mereka tewas aksi terakhirnya 1-6 di tangan Vissel Kobe yang menampilkan bekas rakan sepasukan Torres, Andres Iniesta dan David Villa.

Iniesta menulis surat terbuka kepada Torres, yang mana dia menyatakan “ia satu perjalanan menakjubkan, ia membawa kita ke seluruh pelosok dunia.”


TORRES dilambung rakan sepasukannya selepas beraksi perlawanan terakhir bersama Sagan Tosu sebelum bersara, malam ini. — FOTO AFP

Torres melakukan 110 penampilan bersama Sepanyol dan memenangi Piala Dunia pada 2010, selain Kejohanan Eropah pada 2008 dan 2012, menjaringkan gol dalam kedua-dua aksi final.

Torres mengumumkan tarikh persaraannya Jun lalu.

“Untuk mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak di samping rakan karib saya Iniesta sesuatu yang saya tidak pernah bayangkan,” kata Torres ketika itu.

“Juga kawan karib saya David Villa, bersamanya mungkin saya berkongsi saat paling indah dalam sejarah bola sepak Sepanyol.

“Saya cuba mencari saat ikonik untuk bermain aksi terakhir dan saya fikir ia masa paling tepat.”

Iniesta dan Torres berkawan rapat sejak mereka beraksi bersama dalam pasukan remaja Sepanyol, dengan Torres menulis di jersi Iniesta satu hari mereka akan “memenangi Piala Dunia bersama.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 12:26 AM