PEMAIN JDT, Diogo (kanan) berebut bola dengan pemain PKNP, Amani Aguinaldo pada aksi Piala Malaysia di Larkin. — FOTO Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my


SLOT ke suku akhir Piala Malaysia semakin hampir menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas mereka membelasah PKNP FC 5-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Pada perlawanan yang jelas dikuasai JDT, benteng pelawat dipaksa bekerja keras mengekang asakan bertali arus tuan rumah yang sering memberi ancaman menerusi gerakan bermula dari tengah selain gerakan berbahaya di sayap kiri dan kanan.

Benteng pelawat akhirnya roboh pada minit ke-12 apabila Mauricio Santos menanduk masuk bola susulan sepakan sudut Gonzalo Cabrera yang mencari Leandro Velazquez sebelum pemain Argentina itu melakukan hantaran silang.

Walaupun penjaga gol Shafiq Hafifi berjaya menampan bola rembatan Diogo Luis Santo pada minit ke-31 selepas menerima umpanan Corbin Ong namun gawang PKNP FC tetap bolos apabila Cabrera berada di posisi terbaik untuk melakukan sentuhan terakhir bagi membantu tuan rumah mendahului 2-0.


SAFAWI meraikan gol kelima pasukannya menentang PKNP di Larkin, malam ini. — FOTO BERNAMA

Tindakan Filemon Anyie menjatuhkan Safawi Rasid dalam kotak penalti pada minit ke-36 menyaksikan pengadil Razlan Joffri Ali tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Safawi sendiri yang mengambil sepakan itu mudah merembat bola leret tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Shafiq.

Bersambung babak kedua, tuan rumah sekali lagi dihadiahkan penalti selepas Diogo dijatuhkan pada minit ke-49 dan dia tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan itu.

Gol kelima tuan rumah hadir pada minit ke-62 selepas Safawi mencetak gol kedua peribadi apabila menyudahkan umpanan Diogo bagi memastikan skuad Harimau Selatan menebus kehampaan ketika seri 2-2 pada aksi 16 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 11:16 PM