SHAH Firdaus dijangkiti virus. — FOTO Eizairi Shamsudin
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


KEADAAN semasa pelumba kedua negara, Shah Firdaus Sahrom mencetuskan kebimbangan ketika misi penting untuk memburu tiket pecut berpasukan Olimpik Tokyo 2020 semakin hampir.

Trio negara yang diketuai Azizulhasni Awang bersama Fadhil Zonis mempunyai misi besar untuk memenangi pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korea Selatan dalam tempoh enam minggu lagi bagi mencerahkan peluang ke Sukan Olimpik dalam acara pecut berpasukan.

Trio negara perlu berada di tahap terbaik sekiranya mahu menang di ACC kerana lawan seperti Korea Selatan dan Jepun pastinya turut memburu mata yang banyak ditawarkan.

Shah Firdaus dijangkiti virus sejak pulang ke tanah air minggu lalu dan menarik diri daripada acara keirin pada Kejohanan Trek Grand Prix Asia Tenggara di Velodrom Nasional, hari ini.

Dia tidak berada dalam tahap terbaik apabila beraksi dalam pecut individu semalam namun bertahan hingga ke penentuan gangsa.

Azizul pernah dijangkiti virus pada Mac tahun lalu ketika menghadapi Kejohanan Trek Dunia dan mengambil tempoh yang lama untuk pulih sepenuhnya.

Ketua jurulatih negara, John Beasley mengakui Shah Firdaus terkena jangkitan virus namun menjelaskan ia tidak serius.

“Dia menjalani pemeriksaan ujian darah di Institut Sukan Negara (ISN) namun tiada yang serius.

“Tubuhnya panas dan dia berasa sangat teruk. Jadi hari ini, saya mengarahkan dia menarik diri. Dia turut menarik diri daripada Kejohanan Trek Kebangsaan (Ahad dan Isnin),” jelas pengendali dari Australia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 11:02 PM