LOKMAN (kiri) menjaringkan gol pertama MASUM pada final acara bola sepak di Bangi, hari ini. — FOTO SIPMA
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


MAJLIS Sukan Universiti Malaysia (MASUM) mempertahankan kejuaraan bola sepak Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) selepas menang 2-1 ke atas Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM) pada final di Stadium UNITEN, Bangi, hari ini.

Zarul Aidiel Abdul Aziz muncul wira MASUM apabila menjaringkan gol kemenangan dua minit sebelum tamat sekali gus membantu pasukannya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi ketujuh dua tahun lalu.

Bagaimanapun pertembungan kedua-dua pasukan agak seimbang dan mendebarkan apabila MASUM terlebih dahulu menjaringkan gol pertama pada minit ke-27 menerusi Lokman Hakim Saifuddin.

MSPM tidak mahu menyerah kalah dan bangkit pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Hazwan Tamin pada minit ke-78.

Ketika pegawai dan pemain MPSM sedang mencongak aksi masa tambahan, kelalaian benteng pertahanan menyaksikan pintu gol mereka dibolosi pada minit ke-88.

“Pemain ternyata penat selepas mengharungi jadual yang begitu ketat termasuk beraksi pada masa tambahan semalam serta terpaksa mengharungi penentuan sepakan penalti.

“Namun kami bernasib baik mempunyai pemain muda yang bersemangat untuk mencipta kejayaan,” kata jurulatih MASUM, Ridzuan Abu Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 8:55 PM