NOORAZAM bersama Pengarah Kejohanan Karnival Ragbi Johor 2019, Mohd Norfazreim Imran (kiri).

KOMPLEKS Sukan EduCity, Iskandar Puteri bakal menjadi medan pertempuran 96 pasukan ragbi dari seluruh negara bagi merebut empat kategori dipertandingkan pada Karnival Ragbi Johor 2019 selama dua hari bermula esok.

Memasuki edisi ke-10, Kesatuan Ragbi Johor selaku penganjur mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Kesatuan Ragbi Malaysia dan Majlis Perbandaran Iskandar Puteri bagi menjadikan karnival yang mula dianjurkan sejak 2009 itu terus menjadi pentas mempromosi dan menyokong pembangunan ragbi khususnya di Johor.

Bagi edisi tahun ini, tiga kategori lelaki diperkenalkan mengikut peringkat umur iaitu Piala Iskandar Investment Bhd (Bawah-16), Piala Datuk Bandar MBIP (Bawah-14) dan Piala Milo (Bawah-11) sementara untuk kategori perempuan Piala Iskandar Investment Bhd (Bawah-16).

Antara pasukan bakal berentap adalah Sekolah Sukan Negeri Tun Hussein Onn (Johor), SMK Sains Hulu Selangor (Selangor), KL Saracens (Selangor), Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Sri Mersing (Johor), Akademi Ragbi Terengganu (Terengganu), Maktab Tentera Diraja (KL), SMK Sains Selangor (KL) dan Akademi Ragbi Selangor (Selangor).

Veneu sama turut digunakan bagi Kejohanan Ragbi 7’s Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) pada 22 hingga 25 Ogos.

Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Datuk Noorazam Osman menegaskan kepentingan penganjuran kejohanan seperti itu penting bagi perkembangan sukan ragbi negara ini.

“Karnival ragbi ini yang terbesar di Malaysia dan ia akan membantu dari segi pembangunan sukan ragbi negara. Kejohanan seperti ini amat sesuai untuk mereka mempamerkan bakat dimiliki dan tidak mustahil untuk kita melahirkan pemain berkualiti kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 2:35 PM