NEYMAR berlatih secara bersendirian sementara menanti urusan perpindahan dimeterai. — FOTO Reuters
AFP

NEYMAR belum dapat memenuhi harapannya berpindah dari Paris Saint-Germain susulan laporan hari ini menyebut kelab Perancis itu menolak tawaran dari Real Madrid sebanyak 100 juta euro (RM464 juta) termasuk pemain.

Akhbar sukan Perancis, L’Equipe menyatakan Real menawarkan wang termasuk Gareth Bale, James Rodriguez dan penjaga gol Keylor Navas, namun PSG menolaknya kerana “keseluruhan nilai ditawarkan tidak menepati jangkaan mereka.”

PSG membayar 222 juta euro (RM1.03 bilion) untuk mengikat Neymar dari Barcelona dua tahun lalu dan pengarah sukan mereka Leonardo difahamkan berazam untuk menjual penyerang Brazil itu dengan perjanjian yang hampir sama dengan nilai itu.

Sepanjang musim panas kali ini, Real cuba menjual Bale, manakala khidmat Rodriguez kurang diperlukan selepas kembali daripada pinjaman di Bayern Munich dan Navas bukan lagi penjaga gol utama kelab itu.


NEYMAR (kanan) sebelum ini beraksi bersama kelab musuh Real, Barcelona. — FOTO Agensi

Sementara itu, Barcelona tetap berharap untuk membawa Neymar kembali ke Nou Camp, namun akhbar harian Catalan, Sport mendakwa cubaan untuk mengikat pemain itu secara pinjaman dan membelinya dengan harga 160 juta euro (RM742 juta) hujung musim ini ditolak di Paris.

Sport mendakwa Barcelona berasakan “jelas PSG cuba mengelak pemain Brazil itu kembali ke Nou Camp.”

PSG sebelum ini dilaporkan menolak tawaran 40 juta euro (RM185 juta) daripada Barcelona termasuk Philippe Coutinho dan Ivan Rakitic. Coutinho sudah menyertai Bayern secara pinjaman.

Juventus turut dipercayai berminat mengikat pemain berusia 27 tahun itu, yang tidak beraksi buat PSG setakat ini musim ini selepas dibekukan susulan ketidaktentuan mengenai masa depannya.

Jendela perpindahan tutup di Perancis, Sepanyol dan Itali pada 2 September ini, bermakna masa semakin suntuk untuk memeterai perjanjian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 11:58 PM